Assalamualaikum, Selamat Datang Ke Blog Rasmi Sekolah Ugama Bebuloh, Brunei IV. Salam Ukhwah Untuk Semua.

Saturday, 9 May 2009

Tokoh Islam: Saiyidatina Fatimah, Wanita Penghulu Syurga

Saiyidatina Fatimah az Zahra merupakan puteri kesayangan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Beliau begitu manja dengan ayahanda tercinta sehinggakan Rasulullah SAW pernah berkata:
"Fatimah adalah darah dagingku, sesiapa yang mengganggunya bermakna dia menggangguku."

Saiyidatina Fatimah dilahirkan pada 20 Jamadilakhir 606 dan membesar dalam suasana kesusahan. Walaupun Fatimah anak seorang pemimpin agung ketika itu, namun beliau tidak diajar dan dimanjakan dengan harta dan kekayaan. Sebaliknya Fatimah diasuh untuk menjadi gadis yang beriman dan mempunyai budi pekerti dan akhlak yang terpuji.

Setelah kehilangan ibunda tercinta, Fatimah banyak menggalas tanggungjawab menjaga ayahnya dan menguruskan keluarganya. Dalam kesibukan Fatimah menguruskan rumahtangga, Fatimah masih mempunyai masa untuk beribadah kepada Allah SWT. Setiap hari, malam-malamnya diisi dengan tahajjud, membaca al Quran dan pelbagai lagi. Fatimah mewarisi sifat terpuji Rasulullah SAW. Fatimah tidak pernah mengeluh dengan kekurangan dan kemiskinan kehidupan mereka. Dalam keadaan begitu, Fatimah masih boleh bersedekah. Fatimah tidak pernah membiarkan peminta sedekah meninggalkan rumahnya tanpa membawa sebarang makanan walaupun dirinya sendiri kelaparan.

Semasa perang Uhud, Fatimah telah merawat luka Rasulullah SAW. Fatimah juga turut menyertai Rasulullah dalam peristiwa penawanan kota Mekah dan Haji Wida' pada 11 hijrah.

Ketika Rasulullah jatuh sakit, Fatimah sentiasa berada di sisi ayahandanya. Rasulullah membisikkan sesuatu kepada Fatimah yang membuatkannya tiba-tiba menangis dan kemudian tersenyum. Fatimah menangis kerana mendengar berita tentang saat kewafatan Rasulullah yang sudah hampir. Manakala Fatimah tersenyum tatkala diberitahu dialah orang pertama yang akan menyusuli Baginda ke alam baqa'. Setelah pemergian Rasulullah SAW, Fatimah menyusul enam bulan selepas itu. Beliau meninggal dunia pada usia 28 tahun dan dikebumikan diperkuburan Baqi', Madinah.

Begitulah keistimewaan Rasulullah SAW yang sentiasa mendidik dirinya untuk menjadi hamba Allah yang sabar, redha, takut dosa, tawaddhu' dan pelbagai lagi sifat mahmudah yang lain. Ujian-ujian di dunialah yang akan menguji ketakwaan dan keimanan manusia untuk berjaya di akhirat.