Assalamualaikum, Selamat Datang Ke Blog Rasmi Sekolah Ugama Bebuloh, Brunei IV. Salam Ukhwah Untuk Semua.

Wednesday, 22 April 2009

Berkat Doa Rasulullah SAW

Tatkala Rasulullah SAW dan para sahabat baginda menggali parit pertahanan Khandaq, seorang sahabat Jabir bin Abdullah dapat merasakan bahawa Rasulullah SAW sedang dalam keadaan lapar. Dia segera bergegas ke rumah menemui isterinya lalu bertanya:
"Adakah kita mempunyai makanan? Saya dapati Rasulullah dalam keadaan lapar?"
Sahabat nabi yang mulia ini mengeluarkan bekas simpanan gandum. Di dalamnya hanya terdapat segantang gandum (tidak sampai 3 kilo). Mereka juga memiliki seekor kambing yang masih kecil.

Biarpun kecil, Jabir menyembelih kambingnya itu, manakala isterinya pula menggiling tepung untuk dibuat roti. Setelah itu, Jabir pun menemui Rasulullah untuk mengundang baginda datang makan ke rumahnya.

Disebabkan makanan yang ada cuma sedikit, Jabir datang menghadap Rasulullah, lalu berbisik kepada baginda:
"Wahai Rasulullah! Kami telah menyembelih seekor kambing kepunyaan kami. Isteri saya telah menggiling segantang gandum yang ada pada kami, oleh itu, sudilah tuan datang makan bersama-sama dengan beberapa orang sahabat."
Demi mendengar ajakan Jabir, Rasulullah berteriak:
"Wahai orang-orang Khandaq! Jabir membuat hidangan untuk kamu semua. Marilah kita makan bersam-sama!"

Kemudian Rasulullah menasihati Jabir:
"Jangan kamu turunkan kualimu dan jangan kamu masak adunan rotimu sebelum aku datang."

Jabir pulang semula ke rumahnya. Tidak lama kemudian Rasulullah pun datang diikuti oleh para sahabat yang ramai. Isteri Jabir berasa gelisah dengan kedatangan tetamu yang terlalu ramai itu. Dia berkata kepada suaminya:
"Apa yang sudah abang katakan kepada Rasulullah?"
Jabir hanya dapat menjawab:
"saya telah katakan apa yang kamu pesankan kepada saya."

Tidak lama sesudah itu, Rasulullah datang menemui pasangan yang masih dalam kebingungan di dapur. Jabir mengeluarkan adunan roti mereka, lalu diberkati oleh Rasulullah. Kemudian Rasulullah menuju ke kuali, Rasulullah turut memberkati kambing mereka.

Sesudah itu Rasulullah berkata kepada isteri Jabir:
"Panggillah seorang membantumu membuat roti. Dan ketika mengisi gulai, isikan terus ke dalam mangkuk dan jangan sekali-kali turunkan kualimu itu."

Jumlah para sahabat yang datang adalah seramai seribu orang. Semuanya dapat menikmati hidangan dengan kenyang. Namun lauk di dalam kuali mereka masih tetap penuh berisi seperti sediakala. Adunan roti juga masih seperti sediakala. Demikianlah hebatnya mukjizat RAsulullah SAW.

Pengajaran:
Bersedekah adalah satu amalan mulia yang disukai Allah. Allah akan menggantikan setiap harta yang kita sedekahkan itu dengan sesuatu yang lebih baik. Bukankah harta yang kita miliki adalah hak Allah? Oleh itu, selalulah bersedekah.