Assalamualaikum, Selamat Datang Ke Blog Rasmi Sekolah Ugama Bebuloh, Brunei IV. Salam Ukhwah Untuk Semua.

Saturday, 21 March 2009

Perlawanan Sukan Antara Rumah-Rumah

Khamis, 19/03/09 - Sebagai penutup penggal persekolahan pertama, Sekolah Ugama Bebuloh mengadakan Perlawanan Sukan Antara Rumah-Rumah. Sebelum sukan dimulakan, seluruh keluarga SU Bebuloh, mengadakan Bacaan Ratib. Acara sukan dimulakan sejurus selepas itu. Acara sukan yang dipertandingkan adalah seperti mengisi air dalam botol, membaling piasau, bowling piasau, mengisi kacang hijau dalam straw, membalut orang jadi mummy, membaling bola ke dalam bakul, lari berganti-ganti, menyambung galang getah dan tarik kalat. Keputusan sukan pada hari ini akan dihimpunkan dan dicampur bersama mata yang telah diperolehi di dalam pertandingan yang sebelumnya. Pelajar yang menang dalam perlawanan sukan tersebut diberikan hadiah saguhati sebagai dorongan untuk mengikuti aktiviti-aktiviti lain yang diadakan nanti.


















Monday, 16 March 2009

Perarakan Maulidur Rasul Anjuran SU Bebuloh

Sabtu, 14/03/09 - Perarakan Maulidur Rasul bagi pelajar-pelajar dan guru-guru SU Bebuloh telah diadakan pada hari tersebut. Perarakan dilakukan di sekeliling Kg Bebuloh. Cuaca yang mendung tidak menghalang acara tersebut dari terus diadakan. Ada di antara pelajar-pelajar SU Bebuloh yang baru pertama kalinya mengikuti acara ini dan juga pelajar yang bukan beragama Islam merasa sangat gembira dan mereka juga diberikan pendedahan bagaimana Sambutan Maulidur Rasul biasanya diadakan di peringkat negara. Alunan selawat mengiringi barisan pelajar sambil membawa mini sepanduk yang disediakan oleh pihak sekolah.



Kumpulan pelajar lelaki yang mengetuai barisan dan membawa sepanduk..


Kumpulan pelajar perempuan..


Selesai perbarisan...


Guru yang mengambil bahagian..
Guru perempuan menggunakan kereta kerana ada di antara gurunya yang cedera
dan bersiap sedia jika ada keperluan kecemasan...
Guru lelaki yang ikut serta, Cikgu Hj Sabpil, Cikgu Zulhaizam,
Cikgu Md Najib (jurukamera)....

Kempen Kebersihan & Peraduan Azan Dan Iqamah Antara Rumah-Rumah

Sabtu, 28/02/09- Pada hari tersebut Sekolah Ugama Bebuloh telah mengadakan Kempen Kebersihan Promosi Kesihatan. Kempen tersebut diadakan untuk mengajarkan kepada pelajar akan kepentingan kebersihan dalam kehidupan seharian. Kempen tersebut bertumpu khas kepada bilik darjah, bilik guru, kawasan sekolah dan sekitarnya serta bilik mengambil wudhu.


Pembahagian pelajar mengikut kawasan untuk dibersihkan...


Antara pelajar yang membantu di bilik guru...


Selepas itu, perlawan Azan dan Iqamah antara rumah-rumah sempena Sambutan Hari Kebangsaan Yang ke-25 tahun juga turut diadakan. Setiap rumah akan menghantar 2 orang wakil, seorang lelaki untuk peraduan azan dan seorang perempuan untuk Iqamah. Tujuan peraduan ini diadakan adalah untuk mencari bakat baru di kalangan pelajar dan seterusnya memupuk sifat berani di dalam menghadapi cabaran.


Wakil-wakil yang terpilih untuk mengikuti peraduan...


Thursday, 12 March 2009

Lawatan Guru-Guru ke Mini Galeri ASEAN

Rabu, 11/03/09 - Guru-Guru Sekolah Ugama Bebuloh telah menerima jemputan untuk mengadakan lawatan Mini Galeri ASEAn di Perpustakaan Sekolah Rendah Bebuloh. Mini Galeri ASEAN ini mengandungi gambaran dan maklumat mengenai negara-negara jiran kita yang termasuk dalam Pertubuhan ASEAN. Pameran ini diusahakan oleh guru-guru Sekolah Rendah Bebuloh, kebanyakan maklumat dan informasi yang disediakan menambahkan lagi pengetahuan kami tentang Negara-negara ASEAN. Bahkan, makanan-makanan ASEAN yang dipamerkan juga menjadi tumpuan utama bagi kami. Keluarga Sekolah Ugama Bebuloh mengucapkan tahniah dan syabas kerana telah menyediakan satu galeri yang penuh berinformasi. Pelajar-pelajar dari darjah 5 & 6 juga turut melawat Mini Galeri ASEAN selepas menunaikan sembahyang fardhu Dzuhur berjemaah.


Monday, 9 March 2009

Kisah Dari Al Quran

UNTA NABI SALIH A.S.

Kaum Thamud merupakan kaum yang kuat dan kaya raya. Mereka memiliki rumah-rumah yang besar dan ladang-ladang yang luas. Dengan kekuatan fizikal yang ada, mereka telah menebuk gunung-gunung untuk dibina istana-istana serta tempat tinggal mereka. Sayang sekali, kaum yang kuat dan kaya itu tidak pernah menyembah Allah S.W.T.

Nabi Salih merupakan seorang yang sangat disegani di kalangan kaum Thamud. Baginda terkenal dengan kecerdasan, kebaikan dan kejujurannya. Tetapi, apabila Nabi Salih mula menyampaikan dakwah kepada kaum Thamud, mereka berpaling tadah dan membenci baginda. Mereka berkata kepada Nabi Salih: "Wahai Salih, kami salah seorang yang menjadi tumpuan dan harapan kami. Mengapa kamu melarang kami menyembah berhal-berhala yang disembah oleh bapa-bapa kami sejak beratus-ratus tahun dahulu?". Mereka mencabar Nabi Salih seraya berkata: "Kamu hanya manusia biasa seperti kami. Kalau kamu benar-benar merupakan seorang Rasul maka tunjukkanlah kepada kami satu mukjizat."

Nabi Salih berdoa kepada Allah S.W.T. agar menurunkan satu bukti tentang kebenaran dakwahnya. Allah S.W.T. memperkenankan doa baginda itu dan memberikan mukjizat berupa seekor unta betina yang amat cantik. Kaum Thamud menjadi terpinga-pinga setelah melihat haiwan yang amat cantik itu.

Ia merupakan seekor unta yang lain daripada unta biasa. Nabi Salih berpesan kepada Kaum Thamud: "Unta ini merupakan salah satu tanda kebenaran dari Allah. Berilah peluang kepadanya untuk meminum air perigi secara bergilir-gilir dengan kamu. Janganlah kamu mengganggu atau menyakitinya. Jika kamu berbuat demikian nescaya Allah akan menurunkan azab Nya ke atas kamu semua."

Kaum Thamud yang degil dan keras kepala itu berasa tercabar dengan ucapan Nabi Salih. Mereka berasa tidak senang kerana disuruh bergiliran mengambil air dengan seekor unta. Lalu, mereka merancang untuk membunuh unta itu dengan menugaskan sembilan orang daripada kalangan mereka untuk melaksanakan rancangan tersebut.

Nabi Salih berasa amat sedih dengan perbuatan kaumnya yang sanggup membunuh unta tersebut. Lalu, baginda berkata kepada kaumnya: "Wahai kaumku, betapa kejinya perbuatan kamu semua itu. Bertaubatlah kepada Allah dalam masa tiga hari. Jika tidak nescaya Allah akan menurunkan azab yang amat keras ke atas kamu semua."

Akan tetapi kaum Thamid tidak sedikit pun mempedulikan peringatan Nabi Salih. Maka seperti mana yang dijanjikan pada hari yang keempat selepas peristiwa pembunuhan unta tersebut, Allah S.W.T. telah menurunkan satu suara yang amat keras mengguntur ke atas mereka. Seluruh kaum Thamud mati dalam sekelip mata. Mayat-mayat mereka bergelimpangan bagaikan rumput-rumput kering.

Demikianlah hukuman Allah S.W.T. terhadap orang-orang yang ingkar dan mendustakan perintah Nya.

Petikan Surah Hud ayat 61-68

Saturday, 7 March 2009

Penutup Dikir Sempena Maulidur Rasul

Sabtu, 07/03/09 - Hari ini sekolah mengadakan Majlis Penutup Dikir Sempena Maulidur Rasul di Balai Ibadat Kg Bebuloh. Sekolah Ugama Bebuloh juga telah mengadakan Dikir Syarafil Anaam dari hari pertama bulan Rabiul Awal untuk mengagungkan hari kelahiran Nabi Junjungan Kita, Nabi Muhammad SAW. Acara kemuncak akan diadakan pada hari Sabtu, 14/03/09 nanti, dengan melakukan perarakan Maulud sekeliling Kg Bebuloh. Majlis Penutup Dikir ini dibuat di Balai Ibadat Kg Bebuloh juga adalah salah satu rancangan Sekolah ini untuk mengimarahkan Balai Ibadat kampung ini. Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Asar berjemaah, diikuti dengan dikir Assalai, Alhamd dan ditutup dengan Asyraqal dan seterusnya bacaan doa oleh Cikgu Md Najib bin Hj Md Yassin.


Dengan ini juga, seluruh keluarga Sekolah Ugama Bebuloh ingin mengucapkan tahniah atas perasmian blog rasmi Sekolah Rendah Bebuloh dalam majlis yang diadakan pagi tadi.

Wednesday, 4 March 2009

Pembukaan Dikir Sempena Maulidur Rasul

Khamis, 26hb Feb.- Sekolah Ugama Bebuloh pada hari tersebut telah mengadakan majlis pembukaan dikir Syarafil Anaam sempena Maulidur Rasul yang akan datang. Selepas itu, acara berdikir beramai-ramai akan diadakan setiap hari bagi menyemarakkan lagi Sambutan Hari Kelahiran Nabi Junjungan Kita, Nabi Muhammad SAW. Pada hari tersebut juga, guru-guru yang diarahkan untuk melatih peserta untuk pertandingan dikir peringkat kawasan Brunei IV, juga memulakan latihan. Sebagai kemuncak acara maulidur Rasul ini nanti, Sekolah Ugama Bebuloh akan mengadakan perarakan sekeliling Kampung Bebuloh.