Assalamualaikum, Selamat Datang Ke Blog Rasmi Sekolah Ugama Bebuloh, Brunei IV. Salam Ukhwah Untuk Semua.

Monday 29 March 2010

Penyampaian Hadiah Cemerlang SSSRU Brunei IV

Rabu, 17 Mac 2010 - Ahli Jawatankuasa Pimpinan Sekolah-Sekolah Ugama Kawasan Brunei IV telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah bagi pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama tahun 2009. Majlis diadakan d Sekolah Ugama Lumapas, yang mana majlis ini juga diselajurkan dengan Sambutan Maulidur Rasul dengan penyampaian ceramah khas sesuai dengan tujuan tersebut. Tetamu kehormat Majlis pada hari tersebut adalah Ustazah Hjh Fatimah Bt Hj Abd Ghani. Sekolah Ugama Bebuloh telah dipilih sebagai sekolah cemerlang kerana mendapat keputusan 100% lulus dalam peperiksaan tersebut.

Guru Besar menerima hadiah dari tetamu kehormat majlis

Wednesday 24 March 2010

Sambutan Maulud SAW dan Hari Kebangsaan

Sabtu, 06 Mac 2010 - Sekolah mengadakan Majlis Sambutan Sempena Maulidur Rasul SAW dan Hari Kebangsaan NBD. Sambutan dijalankan dengan mengadakan peraduan mewarna logo hari kebangsaan bagi pelajar rendah bawah dan peraduan menjawab kuiz secara rambang bagi pelajar rendah atas. Kemudian diikuti dengan acara berarak membawa sepanduk sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW mengelilingi Kg Bebuloh.


Majlis Penyampaian Hadiah & Sijil

Sabtu, 30 Januari 2010 - Sekolah Ugama Bebuloh mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Bagi Pelajar Terbaik & Cemerlang dan juga Majlis Penyampaian Sijil SSSRU VI tahun 2008. Diadakan di dewan Kg Bebuloh, dimulai dengan perlantikan Ketua Pelajar bagi sesi tahun 2010, diikuti dengan penyampaian hadiah kepada pelajar terbaik dan kedatangan terbaik sepanjang tahun 2009. Tahun ini juga, Sekolah Ugama Bebuloh menyediakan satu slot 'Penerima hadiah Jasa Kebaktian' yang dikhususkan bagi pelajar yang bukan berugama Islam, yang mana pelajar-pelajar ini adalah diantara pelajar yang rajin membantu dalam menyediakan dan membersihkan bilik sembahyang setiap hari. Majlis juga diteruskan dengan penyampaian hadiah sukan & aktiviti sepanjang tahun 2009. Pelajar Cemerlang 2009 telah disandang oleh Abd Haziq Bin Roslan, yang mana pelajar ini menampakkan kecemerlangan dalam setiap aktiviti yang diikuti dan menjadi role model yang positif bagi yang lain. Pencapaiannya dalam bidang pelajaran juga menampakkan satu kejayaan yang boleh dibanggakan.


Sunday 14 March 2010

Bacaan Tahlil & Penutup Dikir Sempena Maulidur Rasul SAW

Khamis, 25 Februari 2010 - Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW, Sekolah Ugama Bebuloh telah mengadakan bacaan Yasiin beramai-ramai bagi menyemarakkan lagi hari yang mulia itu. Penutup Dikir juga diadakan pada hari tersebut.


Bacaan Yasiiin Sempena Sambutan Hari Kebangsaan NBD

Selasa, 22 Februari 2010 - Sempena sambutan hari kebangsaan NBD ke 26, Sekolah Ugama Bebuloh telah mengadakan bacaan Yasiin berama-ramai dengan tujuan untuk memohon keberkatan dan keselamatan serta kesejahteraan bagi Negara Brunei Darussalam, Raja dan Rakyatnya.
'Negaraku Brunei Darussalam'


Dikir Maulud Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW

Mengikut perancangan aktiviti kegiatan amali Sekolah Ugama Bebuloh, dikir maulud mula dijalankan seawal 1 Rabiulawal bagi sama-sama menyemarakkan sambutan Kelahiran Nabi Junjungan Kita, Nabi Muhammad SAW. Alhamdulillah, aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan lancarnya walaupun ada hari-hari yang 'terlepas'. Insya Allah, rancangan program amali ini akan terus diusahakan menjadi satu kegiatan tetap bagi para pelajar.


Taklimat Bersama Nazir Lawatan

Isnin, 8 Februari 2010 - Taklimat bersama Nazir Lawatan, Cikgu Rosman Bin Hj Metussin diadakan di Sekolah Ugama Pengkalan Batu. Taklimat itu ditujukan kepada 2 buah sekolah yang termasuk dalam program Lawatan Nazir Brunei IV, Cikgu Rosman Bin Hj Metussin. Dalam Taklimat tersebut, Cikgu Rosman menerangkan kepada guru-guru tentang garispandu yang betul dalam urusan pengajaran dan pembelajaran sehari-hari. Di samping itu, nasihat-nasihat yang berguna juga telah diberikan oleh Nazir Lawatan. Diharap dengan adanya taklimat ini, semua urusan pengajaran dan pembelajaran akan dapat diperbaiki dan dipertingkatkan.


Friday 12 March 2010

Kursus First Aid & CPR bagi Guru-Guru Fasa Pertama

2 Feb - 4 Feb 2010 - Salah seorang tenaga pengajar Sekolah Ugama Bebuloh telah terpilih untuk mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Islam bagi tenaga pengajar Sekolah-Sekolah Ugama yang dijalankan selama 3 hari bermula dari 2 Februari hingga 4 Februari 2010. Sepanjang kursus tersebut, guru didedahkan kepada cara-cara melakukan bantuan kecemasan pertama sebelum bantuan sebenar tiba. Guru-guru yang mengikuti kursus ini akan diberikan sijil sebagai pengakuan guru ini telah mengikuti kursus tersebut.


Lawatan Ke Dewan Majlis Negara

Sabtu, 23 Januari 2010 - Aktiviti lawatan pertama Sekolah Ugama Bebuloh adalah ke Dewan Majlis Mesyuarat Negara. Lawatan pada hari tersebut disertai oleh semua pelajar dan guru-guru. Lawatan tersebut memberi peluang kepada guru dan pelajar mengenali dan melawati tempat yang bersejarah bagi Negara Brunei Darussalam. Diharap aktiviti lawatan bagi Sekolah Ugama Bebuloh akan terus dapat dijalankan pada masa akan datang.


Penutup Aktiviti & Sukan 2009 / Pembukaan Aktiviti & Sukan Tahun 2010

Khamis, 21 Jan 2010 - Sekolah Ugama Bebuloh telah mengadakan Majlis Penutup Aktiviti & Sukan bagi tahun 2009 dan seterusnya perlawanan akhir tarik kalat antara rumah-rumah. Namun,disebabkan masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan, perlawanan akhir tarik kalat diganti dengan lari berganti-ganti secara berundur. Selesai perlawanan tersebut, semua pelajar dan guru-guru beredar ke dalam dewan bagi Majlis Penutup dan seterusnya Majlis Pembukaan Aktiviti & Sukan Sek Ugama Bebuloh Tahun 2010. Acara dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan yang diikuti dengan lagu rasmi Rumah-Rumah Sekolah Ugama Bebuloh. Guru Besar selaku pengerusi Aktiviti dan Sukan Antara Rumah-Rumah memberikan sedikit ucapan dan galakan kepada pelajar dan seterusnya menutup dan melancarkan pembukaan aktiviti & sukan tahun 201. Acara perbarisan lalu dan juga kemasukan ahli baru juga diteruskan sejurus selepas ucapan dari Guru Besar tadi. Majlis penyampaian Sijil juga diadakan bagi menghargai mantan ahli-ahli rumah yang sudah menamatkan persekolahan dan juga bagi Penasihat Rumah-Rumah yang terdiri dari guru-guru yang telah berpindah sekolah. Insya Allah pada tahun ini, aktiviti dan sukan akan dijalankan seperti yang telah dirancang.